Siri #asaskoding kali ini memilih untuk menggunakan Python sebagai pengenalan kepada asas pengaturcaraan. Setakat ini, Python adalah bahasa pengaturcaraan yang mudah untuk ditulis dan difahami meskipun bagi individu yang tiada pengalaman dalam bidang pengaturcaraan.
Penggunaan Python pada hari ini amat meluas dan dikatakan antara bahasa yang sangat popular terutama sekali di dalam bidang data sains, pemprosesan teks dan imej, matematik, fizik dan sebagainya.

Aturcara dibina dengan menggunakan bantuan studio pembangunan. Studio pembangunan ialah sebuah perisian yang bersepadu untuk memudahkan kerja-kerja pembangunan aturcara. Ianya lengkap dengan pelbagai alatan bantuan seperti ruang untuk menulis aturcara (ruang ini kebiasannya dipanggil editor), pengkompil, pelaksana dan sebagainya. Siri ini menggunakan studio pembangunan Anaconda sebagai pengenalan kepada asas pengaturcaraan. Perisian ini boleh dimuatturun melalui capaian ini.
Langkah-Langkah Pemasangan Studio Anaconda
Nota pemasangan: Simbol atau ikon pada langkah berikut adalah tertakluk kepada sistem pengoperasian Mac OS. Walaubagaimanapun, langkah-langkah pemasangan masih terpakai untuk Windows dan Linux.
Langkah 1: Muatturun Anaconda versi 3.7 di laman https://www.anaconda.com/distribution/. Pilih Anaconda yang bersesuaian dengan sistem pengoperasian komputer anda.

Langkah 2: Klik dua kali pada Anaconda yang telah dimuatturun untuk memasangnya di komputer anda.

Langkah 3: Ikon studio Anaconda akan terpapar pada pilihan aplikasi di komputer anda apabila pemasangan berjaya. Klik pada ikon studio Anaconda bagi memastikan perisian telah berjaya dipasang dan sedia digunakan.

Kedudukan Python di dalam Anaconda
Spyder adalah salah satu modul di dalam studio Anaconda khas untuk pembangunan aturcara menggunakan Python. Terdapat sebuah lagi modul yang boleh digunakan untuk pembangunan aturcara Python iaitu Jupyter Notebook.
Keduanya mempunyai keupayaan yang sama tetapi berfungsi di persekitaran yang berbeza. Jupyter Notebook merupakan studio pembangunan berasaskan web, yang mana ia memerlukan pelayar web dan rangkaian Internet untuk berfungsi. Manakala Spyder tidak memerlukan pelayar web dan rangkaian Internet untuk berfungsi. Spyder dipilih dengan andaian aturcara Python masih boleh digunakan mesikpun rangkaian Internet tidak ada atau gagal berfungsi.
Pemasangan Spyder
Spyder perlu dipasang sebelum ianya sedia digunakan. Ikuti langkah-langkah di bawah untuk pemasangan Spyder.
- Klik butang Install pada ruang Spyder. Anaconda akan memasang modul Spyder pada komputer anda.
- Pemasangan yang berjaya akan terus membuka Spyder.
Terjemahan Istilah
- download – muatturun
- installation – pemasangan
- compiler – pengkompil
- icon – ikon
- operating system – sistem pengoperasian